BERA – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 35 Jalan Temerloh Bahau di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 9.39 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, kejadian melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan lori jenis Rigid-Kargo.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah Temerloh ke Triang mahu mengisi minyak diesel.
“Apabila tiba di lokasi kejadian lori itu dipercayai cuba memasuki simpang di sebelah kanan.
“Motosikal ditunggangi mangsa dari arah Kemayan menghala Temerloh berlanggar dengan lori terbabit di depan simpang jalan lama Triang Bahau,” kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, penunggang tercampak bersama motosikalnya dan akibat daripada kemalangan tersebut mangsa maut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Zulkiflee, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori.
– SINAR HARIAN