KUANTAN – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Awalluddin Hamdan, 45 dari Kampung Ganchong Ulu, Pekan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Gebeng di sini.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di atas jalan.
“Mangsa yang terjatuh cedera di bahagian kepada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kamarulzaman berkata, kemalangan maut awal pagi itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian