Pekerja Logistik Maut, Dua Parah, Van Rempuh Lori

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR GAJAH: Pekerja logistik syarikat barang kemas maut, manakala dua rakannya parah selepas van dinaiki merempuh sebuah lori di KM 208.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu mangsa, Mohammad Firdaus Badrila, 37, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka akibat parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, makluman mengenai kejadian diterima pada 2.50 petang dan siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Katanya, setibanya di lokasi van Toyota Hiace yang dipandu lelaki berusia 35 tahun melanggar belakang lori membawa barang makanan koko menyebabkan ia melekat dan diseret hingga ke lorong kecemasan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu dan dua penumpang van tersepit serta parah di kepala serta kaki.

“Semua mangsa dikeluarkan pasukan bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, namun seorang daripadanya meninggal dunia.

“Pemandu dan penumpang belakang van masih dirawat, manakala pemandu lori berusia 66 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: METRO