CHUKAI – Pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah parah selepas terjatuh dari jejantas ketika dalam perjalanan ke bilik darjahnya, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.33 pagi itu, pelajar Tingkatan Dua itu patah di bahagian pinggang dan tulang belakang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sekolah terbabit mempunyai sebuah jejantas bagi menghubungkan dua blok iaitu blok utama dan kelas akademik.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan menuju ke kantin selepas selesai mengikuti majlis bacaan Yasin yang diadakan di bangunan utama.
“Dalam perjalanan itu, mangsa tiba-tiba terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Hanyan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut bagi mengetahui punca kejadian itu berlaku.
“Kita berharap supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi termasuk menyebarkan berita yang tidak benar berhubung dengan kejadian itu,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN