Pelajar di hulu Kelantan diharap manfaatkan myRail 5

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
KTMB berharap pelajar di hulu Kelantan yang menggunakan perkhidmatan kereta api supaya memanfaatkan myRail 5. – Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap pelajar di hulu Kelantan yang menggunakan perkhidmatan kereta api supaya memanfaatkan myRail 5, yang diperuntukkan kerajaan.

myRail 5 yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 Disember lalu ialah pas bulanan kereta api kepada pelajar dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Menerusi pas berkenaan, pelajar dan pemegang kad OKU hanya perlu membayar RM5 sebulan dan mampu menikmati kemudahan tren antarabandar tanpa had dari Tumpat ke Lipis, Pahang.

Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Gua Musang, Nor Zamri Yusoff. – Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pegawai Operasi KTMB Gua Musang, Nor Zamri Yusoff, berkata pakej pas bulanan berkenaan sepatutnya bermula Disember lalu, namun tiada sambutan disebabkan penutupan sekolah akibat COVID-19.

“Bagi menggalakkan pelajar mendapatkan pas berkenaan, pihak kami turun padang ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memaklumkan pas bulanan yang disediakan sekali gus meringankan beban pelajar.

“Setiap hari lebih 120 pelajar terutama pelajar sekolah menengah menggunakan perkhidmatan tren sehingga ke Dabong, Kuala Krai dan kita berharap kesemua mereka mendapatkan pakej myRail 5.

“Ini kerana tiada had diberikan dan mereka boleh menaiki sekerap mungkin tren dengan bayaran hanya RM5 sebulan. Untuk mendapatkan pakej berkenaan, pelajar boleh mengambil borang di kaunter KTMB dan mendapatkan pengesahan daripada pihak sekolah.

“Bagi pemegang kad OKU, mereka hanya perlu menunjukkan kad berkenaan di kaunter bagi mendapatkan pakej yang ditawarkan sehingga Disember ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, sepanjang laluan tren, terdapat 10 sekolah dengan kebanyakannya di Kuala Krai dan sehingga kini hanya dua pelajar yang tampil mendapatkan pas bulanan myRail 5.

“Kita beranggapan kurang sambutan disebabkan sekolah menengah masih ditutup dan menyasarkan kesemua pelajar berkenaan akan mendapatkan pakej berkenaan sebaik sekolah dibuka mulai April ini.

“Memang rugi sekiranya pelajar tidak mendapatkan pakej berkenaan kerana jika pakej biasa mereka perlu membayar RM7 hingga RM18 sebulan dengan hanya perjalanan dua hala.

“Sedangkan dengan pakej myRail 5, mereka hanya membayar RM5 dengan tiada had perjalanan dari Tumpat ke Lipis,” katanya.

SUMBER : Berita Harian