Pelajar Ditemukan Mati Lemas Di Sungai Perak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TELUK INTAN: Pelajar lelaki tingkatan dua yang dilaporkan hilang di Sungai Perak berhampiran Jeti Kampung Terengganu di sini semalam ditemukan mati lemas.

Mayat V. Johnson, 15, dari Eastern Garden ditemukan anggota bomba pada pukul 4.45 petang kira-kira 60 meter dari lokasi mangsa disyaki mandi di sungai berkenaan.

Difahamkan, keluarga remaja tersebut membuat laporan polis semalam selepas dimaklumkan guru sekolah mangsa berkaitan penemuan beg sekolah, baju dan seluar dipercayai milik mangsa oleh orang awam di jeti berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan setelah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.17 malam.

Katanya, mangsa yang hanya berseluar pendek itu kemudiannya dijumpai dalam keadaan terapung tidak jauh dari lokasi dia dipercayai mandi.

“Anggota segera membawa mangsa naik ke tebing namun dia disahkan telah pun meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi itu, lima buah bot digunakan selain khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengesan mangsa.

“Selain lapan anggota BBP Teluk Intan, operasi turut disertai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Mayat mangsa yang dibuat pengecaman oleh bapanya itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Sumber: UTUSAN