
KUANTAN – Pelajar Kolej Komuniti Kuantan, Akila Rabiatul Abdullah berjaya ke peringkat akhir Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2022 dalam bidang Floristry yang diadakan baru-baru ini.
Walaupun kali pertama menyertai pertandingan berkenaan, anak terakhir dari enam orang adik beradik itu tidak menyangka berjaya terpilih ke peringkat akhir pertandingan berkenaan.
“Saya gembira apabila diberitahu layak ke peringkat akhir dalam masa yang sama sedikit gementar untuk menghadapi pertandingan diperingkat akhir yang pastinya lebih mencabar,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang merupakan pelajar Sijil Operasi Perhotelan berasa teruja apabila terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut disamping menjadi minatnya terhadap bunga yang mendalam.
Akila yang berasal dari Temerloh turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Sementara itu, menurut jurulatih Akila, Puan Azsyant Ibrahim, bukan mudah untuk sampai ke peringkat ini kerana peserta yang menyertai pertandingan tersebut sudah berpengalaman dan mahir dengan asam garam pertandingan tetapi itu bukan penghalang bagi mereka.
“Ini merupakan penyertaan kali pertama dan sejujurnya saya tidak meletakkan harapan tinggi tapi jika kita tidak mencuba kita tidak akan tahu sejauhmana kemampuan kita.
“Pesaing-pesaing yang datang dari penyedia Latihan TVET Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang lain, mereka berpengalaman dari segi pengajar dan jurulatih. Rasa rendah diri jika membandingkan pengalaman mereka,” katanya.
Seramai 23 orang peserta dalam bidang Floristry bertanding dan hanya lapan peserta layak ke peringkat akhir dalam pertandingan yang berlangsung di Institut Kraf Negara, Rawang.
Sumber: PAHANGMEDIA