Pelajar Maut, Rakan Cedera Motosikal Terbabas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Seorang pelajar Tingkatan Lima maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 7.9 Jalan Machang – Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa Muhammad Nasrie Ghazali, 17, yang juga pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Volkswagen Polo Sedan yang dipandu suri rumah berusia 51 tahun datang dari arah Pasir Puteh untuk membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran.

“Setibanya di lokasi kejadian, wanita itu sudah memberikan isyarat lampu ke kiri untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan, namun tiba-tiba motosikal Modenas Kriss yang dibonceng mangsa merempuh belakang kenderaan itu.

“Akibat rempuhan itu, motosikal yang dibonceng mangsa terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lagi kereta Proton Saga FL dipandu lelaki berusia 55 tahun yang datang dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zahir berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di tengah jalan manakala mangsa yang juga pembonceng terjatuh di hadapan kereta Proton Saga FL dan diseret ke bahu kiri jalan sejauh lebih kurang 20 meter.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Rakan mangsa yang patah tangan kiri dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, manakala dua pemandu kereta tidak cedera,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN