Pelajar Perempuan Tingkatan Enam Maut, Kereta Dipandu Terbabas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut maut selepas kereta dipandu terbabas di Kilometer 6 Jalan Kampung Padang Pak Amat ke Jeram Pasu-Telipot di sini, pada Sabtu.

Mangsa, Nur Ain Alia Mohamad Arep, 19, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku pada jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah itu menerima makluman berkaitan kemalangan yang berlaku berdekatan dengan simpang ke Jeram Pasu.

Katanya, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati sebelum itu, Nur Ain Alia bersendirian memandu kereta dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Jeram Pasu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah ke Jeram Pasu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, turut meminta mana-mana saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh salurkan ke mana-mana balai berhampiran.

“Mereka yang mempunyai maklumat juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Puteri Famieza Abd Kahar di talian 017-2047828,” kata beliau.

– SINAR HARIAN