Pelajar Sudah Divaksin Tidak Sabar Kembali Ke Sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kebanyakan pelajar yang telah menerima vaksin COVID-19 menyatakan rasa gembira dan lega selepas menerima suntikan dan berharap untuk kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Wardah Hamidi

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Wardah Hamidi, 15, berkata, sistem pembelajaran yang dilalui sepanjang pandemik sejak setahun lalu berbeza dengan kaedah bersemuka yang lebih menarik.

Menurutnya, keseronokan menuntut ilmu bersama rakan-rakan dapat memberikan suasana pembelajaran yang berkesan dan kondusif selain memberi lebih banyak peluang dan ruang untuk berkomunikasi dua hala bersama guru-guru.

Justeru, beliau berharap selepas pemvaksinan pelajar di seluruh negara, mereka dapat kembali ke sekolah dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya harap selepas menerima vaksin ini saya dapat bersekolah bersama dengan rakan-rakan, pergi ke perpustakaan dan bercuti bersama keluarga,” katanya.

Nur Ismadin Abdul Rahim

Sementara itu, dua pelajar daripada Pusat Pengajian Pra Tahfiz Darul Hafidz (Putra), Indera Sempurna, Nur Ismadin Abdul Rahim, 15, dan Faizal Rizki Haidar, 13, juga menyatakan harapan sama untuk kembali bersekolah bersama rakan-rakan.

Menurut Nur Ismadin, meski pun berdebar sebelum diberi suntikan namun dia berasa lega kerana dapat melalui proses tersebut dengan baik dan lancar serta berharap dapat menjalani pendidikan di sekolah seperti sebelum ini.

“Saya sangat berharap sekolah dapat dibuka segera sebaik sahaja sebilangan besar pelajar telah divaksin kerana cara pengajaran secara bersemuka lebih berkesan sebab boleh bersoal jawab dengan guru secara terus sekiranya tidak faham sesuatu subjek,” katanya.

Seorang remaja menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Besar SMK Bukit Rangin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang selepas menerima suntikan vaksin di Dewan Besar SMK Bukit Rangin di sini hari ini.

Faizal Rizki Haidar

Rakannya, Faizal Rizki pula berkongsi pengalaman divaksin dan sebolehnya ingin ke sekolah secepat mungkin kerana bosan berada di rumah dalam tempoh yang lama.

“Saya sebenarnya takut jarum tetapi masa cucuk tadi tak rasa apa pun dan saya mendapat kekuatan untuk divaksin kerana saya hendak sekolah segera dibuka sebab dah bosan duduk di rumah,” katanya.

Hari ini, lebih 600 pelajar tingkatan satu hingga tiga dari SMK Paya Besar, Madrasah Sirajul Mukhlasin, Pusat Pengajian Pra Tahfiz Darul Hafidz (Putra), Madrasah Tahfiz Al Hajj dan Maahad Tahfiz Al Muttaqin telah menerima suntikan masing-masing di Dewan Besar SMK Bukit Rangin.

Sumber: PAHANGMEDIA