Tumpat: Hari ketiga pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di Kelantan, hari ini menyaksikan seorang pelajar tingkatan enam tampil secara sukarela untuk vaksinasi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong, Nur Hazarina Mohd Hanafi, 18, berkata, dia memutuskan untuk divaksin segera memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.
Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kopeladar Wakaf Bharu di sini.
“Ibu bapa, keluarga dan guru menyarankan saya supaya mengambil vaksin, jadi saya mengambil vaksin untuk melindungi diri kerana selepas ini perlu belajar bersemuka dengan rakan-rakan dan guru di sekolah.
“Pengambilan vaksin ini sebagai usaha menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling,” katanya ketika ditemui di PPV itu, hari ini.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, sebagai pelajar dia rasa bertanggungjawab untuk mengambil vaksin Covid-19 sebagai perlindungan dan keselamatan.
Dalam pada itu, penghantar perabot, Tuan Hussin Tuan Mat, 54, juga tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ selepas menangguhkan janji temu yang diperoleh menerusi MySejahtera sebelum ini.
“Ketika itu saya tangguh sebab ada kerja penting pada tarikh janji temu, namun, kali ini saya tidak melepaskan peluang dan mahu secara lengkapkan vaksinasi.
“Lagipun saya sentiasa bertemu pelanggan dan berisiko sekiranya wabak Covid-19 ini merebak, memandangkan kes di Kelantan masih lagi tinggi,” katanya yang tinggal di Kampung Neting.
Sumber: My Metro