Pelajar UiTM Maut Kemalangan Motosikal, Kereta Di Simpang Jalan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di simpang Jalan Balora Mastika, Jengka, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, nahas jam 9.15 malam itu berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dengan menunggang motosikal jenis Yamaha R250 dari UiTM Jengka menghala ke kawasan bandar.

“Hasil siasatan awal mendapati ketika mangsa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Nissan Sylphy dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang di sebelah kanan sebelum dilanggar motosikal terbabit yang sedang bergerak lurus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu wanita berusia 64 tahun dan anak perempuannya berumur 24 tahun mengalami kecederaan sebelum dirawat di Hospital Jengka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA