Pelancong Malaysia Ke Thailand Dijangka Cecah 1 Juta Orang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Thailand menjangkakan pelancong Malaysia ke negara itu mencecah sejuta orang menjelang akhir tahun ini, susulan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara sejak April lalu.

Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong Keratiyutwong, berkata sejak pintu sempadan dibuka semula, kira-kira 600,000 pelancong Malaysia berkunjung ke negara itu khususnya ke Hat Yai serta beberapa wilayah lain.

“Kami jangka pengunjung akan meningkat sehingga sejuta orang menjelang akhir tahun ini, sekali gus membantu memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan selepas kebanyakan negara dilanda pandemik COVID-19.

“Sektor ekonomi dan pelancongan di Thailand juga semakin pulih dengan kemasukan pelancong Malaysia, sekali gus dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara ini,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas merasmikan Festival Makanan dan Produk Halal Thailand (Thai Festival 2022) di Konsulat Jeneral Diraja Thai (RTCG) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Patimoh Sadiyamu dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Mengulas festival itu, Chainarong berkata, program dua hari bermula hari ini yang berlangsung di RTCG itu sebahagian mekanisme penting dalam menggerakkan dan membina hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia.

“Festival seperti ini peluang yang baik bagi kami (kerajaan Thailand) untuk menonjolkan makanan dan produk kami. Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan lebih banyak festival seperti ini di Malaysia.

“Kita turut mengalu-alukan kerajaan Malaysia untuk mengadakan festival sebegini di Thailand bagi mempromosikan produk dan makanan negara ini yang saya percaya akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Sumber : BERNAMA