Pelancong Taman Negara Dibawa Keluar Paras Air Sungai Tembeling Naik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT: Kira-kira 100 pelancong asing dibawa keluar dari Taman Negara Kuala Tahan ekoran paras air Sungai Tembeling menunjukkan trend meningkat bermula pagi ini.

Seorang pelancong Australia kelahiran Kota Bharu, Mei Yin Cheong berkata, dia dinasihatkan oleh pihak pengurusan tempat penginapannya untuk berpindah keluar memandang paras Sungai Tembeling semakin naik.

“Saya keluarga ada sehari lagi untuk meneruskan aktiviti tetapi dinasihatkan oleh pihak pengurusan untuk berpindah sekiranya mahu.

“Setelah berbincang bersama suami dan anak perempuan saya, kami mengambil keputusan untuk keluar dan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ke destinasi lain,” katanya ketika ditemui di Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan Kampung Paya Garok, dekat sini, hari ini.

Katanya, dia dan anaknya perempuan, Eva Nova, 12, tidak bersungut dengan kejadian hari ini, kerana sempat menikmati pemandangan hutan hujan tropika.

Pelancong dari Rotterdam, Belanda, Bart Langerveld, 53, berkata mereka seronok berdepan dengan keadaan banjir seperti ini sebagai satu pengalaman ‘pelancongan’ di luar jangka yang tidak ternilai.

“Kami terkejut setelah diberitahu oleh pengurusan penginapan keadaan air sungai yang naik, sebagai satu langkah keselamatan kami menerima dengan hati terbuka.

“Kami sempat melakukan aktiviti kembara di dalam hutan dengan seronok walaupun cuaca hujan,” katanya.

Katanya, dia sudah sedia maklum bulan Disember adalah musim hujan, tetapi ini yang mereka cari sebagai pengalaman di negara tropika.

Sementara itu, kira-kira 5,000 penduduk di kawasan Felda dan kampung tradisional terputus hubungan apabila Jalan Jerantut – Kuala Tahan dinaiki air di kawasan jambatan Kampung Paya Garuk hari ini.

Jalan itu yang menghubungkan bandar Jerantut ke Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan kampung-kampung tradisional pesisir di Sungai Tembeling tenggelam sedalam kira-kira 0.5 meter meter dan jarak tenggelam sejauh 220 meter dan trend paras air Sungai Pahang semakin menaik.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritenden Azman Mat Kamis, berkata, Jalan Jerantut ke Lipis turut ditutup kepada semua kenderaan apabila tiga lokasi dinaiki air di Kampung Sepial setinggi satu meter sejauh 300 meter, di jambatan Sungai Kerak turut ditenggelami air sedalam 1.20 meter sejauh 90 meter.

“Tidak terkecuali , Jambatan Sungai Teh turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air dengan kedalaman 0.36 meter dengan trend air menaik .

“Pengguna yang ingin ke Lipis perlu menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jerantut-Benta,” katanya.

– BERITA HARIAN