Pelihara Kehormatan Isteri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Antara tanggungjawab utama lelaki sebagai ketua keluarga adalah memelihara ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan maksiat. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan meraka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.

Berdasarkan hadis tersebut, dayus bermaksud suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan mengambil peduli perbuatan maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarganya. Oleh itu, kaum lelaki perlu sentiasa diingatkan tentang peranan utamanya sebagai qawwam atau pemimpin dan pelindung dalam rumah tangga.

Istilah qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.

Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu sentiasa mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita.

Tugas seorang lelaki yang qawwam adalah melindungi keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga. Seorang suami juga perlu memelihara kehormatan isteri, melindungi dan memelihara ahli keluarga daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Oleh itu, persiapan ilmu amatlah penting bagi setiap pasangan suami isteri supaya dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat. Ajaran Islam mengajarkan beberapa amalan terbaik untuk pasangan pengantin baharu selaras dengan tuntutan syariat.

Antara amalan tersebut adalah seperti melaksanakan solat sunat dua rakaat selepas pernikahan. Perbuatan tersebut menjadi permulaan yang baik dalam melayari bahtera rumah tangga yang sejahtera.

Selain melaksanakan solat sunat, hukum mendoakan isteri yang baru dinikahi sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri juga adalah disunatkan. Semua amalan yang dianjurkan ini adalah untuk meraih keredaan Allah dalam perkahwinan dengan memelihara adab dalam beramal.

Bagi memastikan setiap kaum lelaki yang bakal berkahwin mempersiapkan diri mereka dengan bekalan secukupnya dalam memimpin bahtera rumah tangga dan keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membincangkan isu pemerkasaan peranan kaum lelaki melalui Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam.

Antara resolusi yang dicapai adalah untuk mempergiatkan program pemantapan akidah supaya dapat berperanan sebagai khalifah yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab yang berkualiti berpaksikan nilai-nilai ajaran Islam serta mempraktikkan nilai-nilai kekeluargaan Islam.

Di Wilayah Persekutuan, semua pasangan yang bakal berkahwin diwajibkan untuk mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam berpandukan modul khusus. Ini adalah bertujuan supaya dapat memberikan pendedahan tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat menjadi bekalan kebahagiaan dalam rumah tangga selaras dengan tuntutan agama.

Sumber: HARIAN METRO