Pelihara Lisan, Jaga Jemari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sejak dari kecil, kita sering diingatkan oleh ibubapa supaya sentiasa menjaga lisan daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik.

Zaman kini, ramai yang menggunakan media sosial. Melihat sahaja komentar netizan di media sosial, kita pasti tidak selesa dengan perkembangan yang tidak sihat dalam media kontemporari tersebut. Malah, ada yang sanggup membiarkan masyarakat mengenali dirinya yang menulis komentar negatif dalam media sosial.

Setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab menjaga lisan dan jemari masing-masing kerana semuanya akan dinilai di sisi Allah SWT.

Mu’az bin Jabal RA ketika bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menjauhkannya daripada neraka, lalu baginda menyebutkan tentang rukun iman dan beberapa pintu-pintu kebaikan.

Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Mu’az: “Mahukah aku jelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga semua itu?” Lantas baginda memegang lisannya dan bersabda: “Jagalah ini.”

Maka aku (Mu’az) bertanya lagi kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?” Rasulullah SAW menjawab: “Semoga ibumu kehilanganmu! (ini adalah ungkapan agar perkataan selanjutnya diberi perhatian serius).

Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penjelasan Rasulullah SAW seharusnya menyedarkan kita tentang pentingnya menjaga lisan. Kelajuan jemari menaip perkataan yang tidak baik menunjukkan tahap iman dalam diri dan hal ini tidak boleh dibiarkan kerana ia termasuk perbuatan dosa.

Mungkin sesetengah orang menjadi lebih berani untuk menaip perkataan buruk dalam media sosial kerana mereka tidak berdepan dengan orang tersebut secara bersemuka. Tetapi di dalam media sosial, segalanya berlaku tanpa bersemuka. Oleh itu, hanya sifat malu yang dapat mengekang perbuatan buruk ini.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa jika tiada sifat malu dalam diri, maka manusia akan melakukan apa sahaja yang dihajati oleh nafsunya.

Setiap orang perlu berusaha mengawal diri daripada melemparkan kata-kata tidak baik kepada orang lain. Sesungguhnya berdiam diri lebih baik daripada melontarkan kata-kata yang tidak benar, tidak sopan, tidak berhikmah dan seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Barang siapa  yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Perbuatan diam bukanlah bermaksud menyembunyikan kebenaran, tetapi diam dalam erti kata menjaga lidah daripada mengeluarkan kenyataan yang palsu dan buruk.

Sesungguhnya setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang insan boleh menyebabkannya dirinya dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya jika perkataan tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT, maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Oleh itu, marilah kita menjaga lisan dan jemari kita semua kerana ia boleh menjadi punca diri mendapat dosa. Manfaatkanlah lisan dan jemari kita untuk mengumpul ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Sumber: HARIAN METRO