Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 Tarik Hampir 20 Ribu Pengunjung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 berjaya menarik hampir 20 ribu pengunjung sepanjang lima hari diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, program yang kali kedua dibuat di Muzium Negeri Terengganu ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung dalam dan luar negeri.

“Berbanding tahun lepas, tahun ini sambutan memang sangat baik lah, kita start 22 haribulan sampai 26 haribulan, hari pertama kita dapat hampir 2 ribu orang”

Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 diadakan ini membabitkan penyertaan lapan daerah dari seluruh negeri Terengganu di mana mereka perlu menghiasi monumen seperti rumah-rumah tradisi, perahu besar dan Istana Tengku Long yang terdapat di KBT.

Pertandingan tersebut bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia malam tujuh likur yang lazimnya diamalkan penduduk dahulu kala, malah dapat mempromosikan KBT kepada masyarakat luar, terutama pelancong asing dalam menonjolkan elemen pelancongan budaya yang sinonim dengan Terengganu.

Untuk rekod, pertandingan pelita raya mula diperkenalkan pada peringkat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Tepuh bermula 2009 kemudiannya dikembangkan menjadi penganjuran yang lebih besar dengan penglibatan kampung berhampiran. Jabatan Pelancongan mula mengambil alih peganjuran pada 2020.

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu berjaya dianugerahkan sebagai juara Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 yang berakhir malam tadi yang membawa pulang hadiah tunai bernilai RM5,000 di samping pingat kejuaraan.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM