PeliTer 2023 DijangkaTarik 20 ribu Pengunjung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT) yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April ini di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Muzium Negeri di Losong dijangka menarik kehadiran kira-kira sehingga 20,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, program pada malam tujuh likur bertemakan Comeynya Peliter itu mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.

Menurutnya, melalui konsep itu, setiap peserta membabitkan lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu perlu menghiaskan rumah-rumah tradisi dan check point yang terdapat di KBT.

“Program pelita raya antara acara yang dinantikan masyarakat Terengganu kerana mempunyai tarikan tersendiri. Pengunjung dapat melihat kreativiti, cetusan idea dan dekorasi yang ditonjolkan peserta pada setiap rumah tradisi.

“Penganjuran program ini pastinya dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Melayu dahulu kala,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dan lawatan tapak ke PeliTer @KBT di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri, semalam

Ariffin juga memaklumkan caj kemasukan ke PeliTer adalah RM1 bagi dewasa manakala percuma bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak bawah umur enam tahun.

Pertandingan fotografi serta video Tik Tok di tapak program juga dibuka buat orang awam dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM2,500.

– UNIT BERITA MANIS FM