Peluang Akhiri Kemarau 12 Tahun Emas Bola Sepak Cerah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Impian melihat skuad bola sepak negara menamatkan penantian selama 12 tahun untuk membawa pulang pingat emas dari Sukan SEA tahun ini tampak cerah.

Ia susulan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan skuad bawah 23 (B-23) tahun bakal membawa pemain terbaik untuk temasya yang akan berlangsung di Kemboja pada pertengahan tahun ini.

Walaupun badan induk itu belum meletakkan sasaran pada Sukan SEA yang akan berlangsung pada Mei depan, Hamidin bagaimanapun mengharapkan kejayaan dapat dilakar skuad kendalian E Elavarasan.

“Sukan SEA tahun ini memberi kelebihan kepada kita kerana berlangsung pada waktu saingan liga berehat. Berkaitan sasaran perlu tanya Pengarah Teknikal FAM (Scott O’Donell) namun kali ini tiada isu pemain tolak panggilan kerana berada dalam kalendar FIFA.

“Skuad B-23 pada Mei akan mengharungi perlawanan persahabatan yang akan ditentukan nanti. Sudah pastinya untuk Sukan SEA kita berharap dapat membawa pasukan terbaik,” katanya.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia selepas menewaskan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan penalti.

Selepas itu, Malaysia hanya memenangi pingat perak pada 2017 di Kuala Lumpur dan pulang tangan kosong pada edisi 2019 dan 2021.

Sumber : BERITA HARIAN