Peluang taubat yang harus direbut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Di dunia ini tiada seorang pun manusia yang terlepas daripada melakukan dosa. Ianya berlaku pada setiap hari bermula dari awal pagi hingga ke malam pasti ada dosa terpalit sama ada dilakukan secara sedar atau tidak.

Oleh sebab itu, sekiranya kita bertaubat terhadap dosa itu, maka ia akan terkumpul lalu ia menjadi salah satu ‘tiket’ kita ke neraka.

Walaubagaimanapun, kerana Allah SWT terlalu sayangnya kepada hamba-hamba-Nya, maka Allah telah sediakan jalan keluar untuk menghapuskan dosa yang kita lakukan dengan cara bertaubat.

Manusia seperti Nabi Muhammad SAW yang maksum itu pun tetap banyak beristighfar dengan memohon keampunan kepada Allah SWT sehari semalam.

Allah SWT telah berjanji setiap kesalahan yang dilakukan oleh hamba-Nya boleh dihapuskan dengan taubat kecuali dosa yang membabitkan sesama manusia dan yang paling ditakuti adalah dosa mensyirikkan Allah SWT.

Daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda: ” Tidaklah seseorang itu melakukan dosa kemudian dia bersuci serta melakukan solat, lalu dia meminta ampun kepada Allah, melainkan Allah akan mengampuni dosanya. Lalu membacakan firman Allah,’Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri,mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka-dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah-, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

(Hadis riwayat at-Tarmizi, Abu Daud).

Sejajarnya, kita sebagai manusia seharusnya hadir sesalan dalam hati dan penyesalan dengan dengan taubat yang sebenar-benarnya. Taubat nasuha ialah bertujuan untuk memberikan perubahan pada setiap anggota badan, akal, hati, jiwa dan rohani.

“Penyesalan adalah taubat”

(Riwayat Ibnu Majjah)

Seterusnya, apabila kita membicarakan soal penyesalan dengan hati, maka ia adalah merujuk kepada ikhlas. Ikhlas pada hakikatnya ialah suatu kemestian dalam amalan yang seperti kita telah sedia maklum. Setiap apa-apa pekerjaan, amalan atau ibadah ia memang memerlukan keikhlasan hati dalam melakukannya.

Penyesalan yang sebenar ialah memiliki dua unsur iaitu menyesal dengan kemaksiatan yang telah dilakukan serta nekad untuk tidak mengulanginya lagi dan berazam untuk berhenti daripada melakukan dosa tersebut.

Seseorang yang benar-benar memperbaiki diri dan bertaubat, disyaratkan untuk membulatkan tekad supaya tidak mengulangi kesilapan atau dosa pada masa yang akan datang. Tekad ini adalah bukti bahawa dia berazam untuk berubah. Ini juga merupakan bukti bahawa lafaz istighfar yang disebut-sebut itu, bukanlah satu guraun senda, bahkan ia benar-benar terbit daripada hatinya.

Istighfar ia bukanlah sesuatu yang ringan di bibir sahaja, namun ia perlu hadir dengan ikhlas daripada hati dan diikuti dengan amalan. Melihat kepada kesukaran dan mujahadah yang tinggi dalam taubat, tidak hairan jika Allah SWT telah berjanji untuk mengangkat mereka ke martabat kekasih-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Adakah kita masih mampu hidup dengan penuh alasan, untuk tetap hidup bergelumang dengan dosa? Apa pun alasan kita untuk terus dalam kemaksiatan, ia adalah satu alasan yang rapuh. Manusia tidak akan ada alasan yang munasabah untuk diucapkan di hadapan Allah SWT.

Tidakkah kita sedar, bahawa Allah SWT sentiasa menanti kita untuk kembali kepada-Nya. Marilah kita mengambil langkah proaktif untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat kita tidak sekadar terhenti pada istighfar sahaja, kita pun tekad untuk tidak mengulangi keburukan tersebut. Malah, ia disusuli pula dengan tekad untuk memperbanyakkan amalan kebaikan. Dengan ini, kita telah berusaha mengambil segala asbab untuk Allah SWT menghapuskan catatan amal keburukan dalam buku nota peribadi kita.

Akhir sekali, marilah kita mengambil semangat yang sama daripada firman Allah SWT. Ini kerana ia menguatkan nasihat dan pesanan hadis Rasulullah SAW, berkenaan keperluan manusia perlu bersifat proaktif dalam bertaubat, iaitu dengan melakukan taubat setelah menyesali dosa yang dilakukan.

Justeru itu, kita sebagai manusia marilah kita berusaha memperbaiki dan memperbanyakkan amalan kebaikan kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-An’am 6: ayat 54)