Peluk Islam Selepas Mimpi Ular

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Tidak terlintas di fikirannya untuk memeluk Islam, namun petunjuk melalui mimpi menyebabkan hatinya tergerak mengenali Islam.

Siti Hawa Mokhtar, 19, yang juga Orang Asli berketurunan Temiar, berkata dalam mimpi itu, dia melihat dirinya dibelit seekor ular besar dan mula mencari jawapan di sebalik mimpi yang dialaminya.

Katanya, dia bertanya kepada rakan yang beragama Islam selain turut mencari tafsiran mimpi itu melalui internet. Walaupun tiada jawapan yang pasti, mimpi itu seolah mendekatkan lagi jiwa Siti Hawa dengan agama Islam.

“Alhamdulillah saya mendapat petunjuk daripada Allah SWT sebelum mengucap dua kalimah syahadah pada Disember tahun lalu di hadapan pegawai agama Islam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ketika itu berada di kampung saya di Kampung Kuala Wok, Gua Musang.

“Selepas memeluk Islam, saya lebih tenang kerana kehidupan lebih terurus dan tersusun,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, di Kok Lanas, di sini.

Katanya, pada masa sama sebelum ini dia kerap menonton ceramah mengenai Islam di media sosial kerana tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai agama Islam.

“Saya banyak menonton ceramah daripada penceramah bebas dan kata-kata indah yang disampaikan oleh mereka mengenai Islam menyebabkan saya terbuka hati untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama suci ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui keputusan untuk memeluk Islam, mendapat tentangan hebat daripada keluarganya yang beragama Kristian.

“Saya mengambil masa hampir sebulan untuk memujuk ibu supaya menerima agama baru yang dianuti,” katanya.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama, pada Februari lalu, dia datang ke Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas untuk mendalami serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam.

“Sebaik memeluk Islam, fokus saya adalah utama untuk mencari dan mendalami ilmu mengenai agama ini sebanyak yang mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak.

“Saya memeluk Islam atas kerelaan hati sendiri dan sebagai orang baharu, banyak lagi yang saya perlu belajar serta mendalami dalam ilmu agama,” katanya.

Siti Hawa berkata, selepas lebih sebulan berada di PPI, dia kini sudah boleh membaca surah pendek selain Ramadan pada tahun ini juga lebih bermakna kerana kali pertama berpuasa. Justeru, berharap dapat menyempurnakannya sehingga hari terakhir Ramadan.

“Saya juga sentiasa berdoa supaya ibu, ayah dan adik beradik lain terbuka hati untuk memeluk Islam satu hari nanti,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN