Pemain, Arul Bingung Dibelasah Afrika Selatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROURKELA, India – Ia adalah satu kekalahan yang ‘membingungkan’ buat Malaysia di tangan Afrika Selatan, tercicir 3-0 pada babak pertama dan terus mengejar pasukan lawan yang berada di ranking lebih bawah sebelum tewas 6-3 pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 Piala Dunia.

Pada akhirnya, Malaysia yang berada di ranking ke-11 melonjak ke kedudukan kesembilan pada satu ketika sebelum kembali berada di ranking ke-11 dunia.

Selepas perlawanan berkenaan, pemain juga tampak seakan ‘bingung’ memandangkan mereka tidak berupaya mempertahankan bola, berlari lebih pantas dan bermain dengan agak buruk selama 30 minit.

“Perlawanan ini (dengan Afrika Selatan) adalah misteri bukan hanya buat staf kejurulatihan tetapi juga pemain saya kerana mereka tidak dapat memahami apa yang berlaku pada 30 minit pertama, mereka kerap melakukan kesilapan dan hilang bola dengan mudah.

“Saya memberitahu mereka bukan mengenai perlawanan yang lain tetapi satu perlawanan mempunyai akibatnya terhadap ranking. Apabila mereka pulang nanti, ada kejohanan MHL (Liga Hoki Malaysia) dan kalah teruk di sini akan menyebabkan peminat menjauhi stadium.

“Mereka kemudian boleh memikirkan mengenai aspek kebangsaan (Konfederasi Hoki Malaysia) termasuk penaja individu yang mereka terima. Saya memberitahu mereka, bermain hoki bukan hobi buat mereka tetapi bagai isi dan kulit. Mereka tidak boleh bermain seperti ini lagi.

“Tiada seorang pun yang memberikan jawapan memuaskan mengenai kekalahan itu. Ia amat membingungkan dan mengecewakan,” kata Arul.

Jepun jatuh ke kedudukan ke-18 dunia selepas dibenam India 8-0 dan kalah kepada negara Matahari Terbit itu, esok tentunya akan meninggalkan impak lebih buruk kepada Malaysia.

Jepun tewas dalam kesemua empat perlawanan mereka di Piala Dunia setakat ini.

“Kami tidak akan menjalani latihan atau sesi taktikal hari ini kerana ada sesi hati ke hati bagi memastikan mereka menewaskan Jepun. Kami sudah menewaskan mereka banyak kali dan harus mengalahkan mereka semula demi negara,” kata Arul.

Sumber : BERITA HARIAN