PARIS: Jurulatih Christian Atsu dari kelab Turkiye, Hatayspor berkata hari ini bahawa pemain tengah Ghana itu tidak ditemui selepas gempa bumi kuat melanda negara berkenaan dan ia berbeza daripada apa dilaporkan awal minggu ini.
Pada Selasa, Persatuan Bolasepak Ghana (GFA) berkata Atsu “berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan dan menerima rawatan” selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.8 melanda Turkiye dan negara jiran, Syria pada awal pagi Isnin.
Atsu, 31, menghabiskan empat musim di Chelsea sebelum perpindahan kekal ke Newcastle pada 2017.
Dia menandatangani perjanjian pada September untuk beraksi di Super Lig Turkiye bersama Hatayspor, yang berpangkalan di wilayah selatan, Hatay berdekatan pusat gempa itu.
“Saya tiada berita baik, masih belum menemuinya di bawah runtuhan,” kata bos Hatayspor, Volkan Demirel kepada AFP.
Ejen imej Atsu, Gaynor Frascione berkata dia bimbang dengan keselamatan pelanggannya itu.
“Saya tidak tahu. Semua orang cuba mengesan di mana pusat perubatan dia mungkin berada,” katanya kepada AFP.
“Kami tidak tahu (jika dia masih hidup). Ada juga 18 pelajar Ghana dalam bangunan itu, duta di Turkiye berkata dia sudah diselamatkan, doktor sudah membuat kenyataan, tapi ia benar-benar kecoh,” katanya.
Atsu menghabiskan lima musim di Newcastle, bermain lebih 100 perlawanan sebelum ke Arab Saudi pada 2021.
Dia beraksi kali terakhir daripada 60 penampilan antarabangsa buat Ghana pada September 2019. – AFP
Sumber: BERITA HARIAN