KUALA TERENGGANU – Jentera tengah Terengganu FC (TFC) bakal lebih mantap apabila skuad itu mengikat pemain kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov hari ini.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu mengikat kontrak dengan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner selama 18 bulan bagi mengisi kuota pemain import bebas skuad Penyu itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, kehadiran bekas pemain kelab Neftchi Fergana dalam Liga Divisyen 1 Uzbekistan itu bagi menambah lagi kekuatan di jentera tengah pasukan yang sebelum ini dilihat longgar.
Katanya, pemain yang pernah dinobatkan sebagai ‘arkitek’ terbaik dalam liga di negaranya itu berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan bermula dengan skuad Bawah 19 Tahun (B-19), B-21, B-23 dan skuad senior.
“Pemain kebangsaan Uzbekistan itu (Tukhtasinov) bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama TFC selama 18 bulan sehingga akhir tahun depan.
“Pemain yang baharu pertama kali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) itu bakal mengisi kuota pemain import bebas TFC.
“Kita harapkan kehadiran pemain tengah itu mampu memberikan impak yang besar dan positif buat pasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Super, Piala Malaysia selain aksi Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang dijadualkan bermula pada bulan depan.
“Kita juga berharap pemain yang bakal menyarung jersi bernombor 97 itu sempena tahun kelahirannya pada 1997 dapat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukannya dengan cepat terutama berdepan PDRM FC minggu depan,” katanya.
Pemain berketinggian 2.72 meter itu dijangka bakal bergandingan dengan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon selepas posisi itu sebelum ini dilihat gagal berfungsi dengan baik untuk menjana gerakan lebih berbahaya pasukan untuk memburu gol.
– HARIAN METRO