Pemain Kelantan United Terpalit Kes Rogol Direhatkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang pemain bola sepak liga tanah air yang terpalit dengan kes rogol seorang gadis pada Mei lalu direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, keputusan merehatkan pemain berusia 28 tahun terbabit berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Katanya, pasukan itu turut mengesahkan isu rogol terbabit bersabit dengan pemain mereka dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.

“Pasukan menunggu laporan penuh berhubung kes berkenaan dan sentiasa mengutamakan undang-undang negara.

“Pihak pengurusan pasukan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya juga akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak sekiranya pemain tersebut dibuktikan bersalah.

“Pasukan juga berpegang kepada prinsip, ‘seseorang itu masih tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah’.

“Buat masa ini, pemain tersebut direhatkan dahulu daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga tempoh dimaklumkan kelak,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN