Pemandu Ambulans Dan Anak Maut, Kemalangan Di Jalan Gua Musang – Jeli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Dua beranak maut dan seorang cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Jeli, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, ekoran daripada pertembungan tersebut mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, bersama anaknya Muhammad Hasbullah, 15, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, mengalami kecederaan di dada.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

“Kenderaan mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori yang membawa muatan kayu dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang sedikit berselekoh, menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Gua Musang manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

— BERNAMA