Pemandu Jentolak Jumpa Dua Bom Lama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT – Seorang pemandu jentolak menjumpai dua butir bom lama ketika melakukan kerja pembersihan kawasan di belakang sebuah stesen minyak di Seberang Jertih, petang tadi.

Nik Suhairi Azlan Latif, 32, berkata, beliau menemui bom itu ketika sedang membuang tunggul kayu di kawasan itu untuk kerja pembinaan rumah.

“Ketika menggali tanah, saya nampak dua objek seakan bom bergolek bersama tanah.

“Pada mulanya, saya sangkakan ia mainan kanak-kanak, tetapi menyedari ia mungkin bom sebab ia berat dan keadaan luarannya seperti tidak pernah digunakan sebelum ini.

“Saya segera memaklumkan kepada tuan tanah dan memintanya menghubungi polis,” katanya ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mengesahkan objek yang ditemui itu adalah bom lama atau Unexploded Ordnance (UXO), berukuran 60 milimeter (mm).

Beliau berkata, tindakan pemusnahan bom selesai dilakukan dengan menggunakan teknik kaedah elektrik.

– BERITA HARIAN