Pemandu Lori Didakwa Pecah Amanah RM324,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM324,000, bulan lalu.

Mohamad Ridzuan Abdul Khadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Ridzuan didakwa melarikan 81 tan besi konkrit antara 8 malam pada 9 November hingga 8 malam 10 November lalu di Jalan Sungai Ular di sini sebelum menjualnya kepada pihak lain.

Tertuduh yang dilantik sebagai subkontraktor kepada syarikat pengangkutan Kanna Transport Servis sepatutnya menghantar barangan itu ke Pelabuhan Kuantan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam Tharan Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak.

Majistret kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Sumber: My Metro