Pemandu Lori, Kelindan Maut Tertusuk Muatan Kayu Ketika Kemalangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Seorang pemandu lori bersama kelindannya maut selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 11 Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37 dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian berlaku ketika dua lori termasuk yang dinaiki mangsa dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar, di sini.

Ketika menghampiri simpang, katanya, lori dipandu rakan mangsa dikatakan berhenti untuk keluar ke kanan jalan, menyebabkan klori dinaiki mangsa hilang kawalan lalu merempuh belakang kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan lori di hadapan itu menggelungsur ke depan lalu dilanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 31, dari arah Dungun ke Bukit Besi,” katanya.

Maizura berkata, kesan rempuhan kuat menyebabkan Mohd Shahrul Hafif dan Ridzuan tertusuk muatan kayu yang dibawa lori di depannya.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah pada dada meninggal di tempat kejadian.

“Sepasukan 11 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun yang bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Mayat mereka dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Pemandu Proton Wira dan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERITA HARIAN