Pemandu Lori Tanah Putus Dua Kaki Dalam Nahas Empat Kenderaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang lelaki putus kedua-dua belah kaki selepas lori muatan tanah dipandunya melanggar belakang sebuah treler tanpa muatan dan sebuah kereta sebelum terbalik di Jalan Pintasan Kuantan dekat Semambu dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah hari melibatkan empat kenderaan itu, mangsa yang parah berusia 55 tahun beralamat di Sungai Isap Perdana dekat sini.

Menurutnya, seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Viva berusia 29 tahun mengalami luka di beberapa bahagian badan manakala pemandu treler dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika keempat-empat kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Semambu menghala ke Gambang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tanah dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler dan Perodua Viva sebelum terbalik melintang jalan,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, treler yang dilanggar lori mangsa menggelongsor sebelum melanggar Perodua Axia yang bergerak perlahan di hadapannya.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dirawat di wad kecemasan (zon merah).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

– SINAR HARIAN