Jerantut: Seorang pemandu pelancong alam sekitar di Taman Negara, Kuala Tahan, mengambil inisiatif mengusahakan tanaman cili kulai berdekatan rumahnya di Kampung Kuala Tahan dekat sini, selepas sektor pelancongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Mohd Kamil Hakim Rozali, 31, berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020, dia sangat kecewa dan ‘termenung’ seketika memikirkan nasibnya tanpa pekerjaan dan pendapatan.
“Taman Negara ditutup sementara, jadi saya dan 300 pengusaha dan penggiat sektor ini kehilangan pendapatan menyebabkan saya dirundung duka.
“Namun, semangat saya kembali pulih apabila dinasihati oleh keluarga supaya mengusahakan tanaman pertanian komersial di kawasan tanah seluas 0.4 hektar berdekatan rumah,” katanya.
Katanya, dia memulakan tanaman cili kulai fertigasi sejak awal tahun ini menggunakan modal daripada duit simpanan sendiri dan bantuan keluarga untuk membeli polibeg, peralatan pertanian dan pengurusan lain.
Katanya, dia memilih bidang pertanian atas nasihat dan dorongan daripada Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah.
“Saya yakin bidang pertanian antara sektor tidak akan terjejas semasa pandemik Covid-19 dan dapat menjamin masa depan.
“Saya menanam sebanyak 1,800 benih cili dan memperoleh hasil dalam tempoh lebih dua bulan. Saya memperoleh 100 kilogram cili yang dipasarkan di Kuala Tahan dan bandar Jerantut.
“Pada pusingan seterusnya, cili diambil oleh pemborong yang datang secara berjadual di pusat pengumpulan hasil di Felda Sungai Retang untuk dihantar ke pasar Selayang, Selangor dan Pasar Tani Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, sehingga ini sudah enam pusingan tanaman ini dipetik dan sudah menikmati pulangan modal dan sedikit lebihan untuk simpanan dan perbelanjaan keluarga.
“Saya tidak akan menoleh ke belakang kerana tidak pasti bila sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan kembali bernafas semula memandangkan penularan wabak ini belum nampak berpenghujung,” katanya.
Sumber: My Metro