Pemandu teksi LTSM terkesan, hanya peroleh RM30 seminggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: “Walaupun sektor pelancongan dibuka, kami di sini masih terjejas kerana pendapatan bergantung kepada orang luar yang datang ke Terengganu menaiki kapal terbang,” kata Rostam Mokhtar.

Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) itu berkata demikian mengulas mengenai kesan ditanggung akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pembukaan secara berperingkat pelancongan di Terengganu belum memberi ‘kesenangan’ kepada pemandu teksi khususnya yang bergantung kepada pelancong luar negeri.

Jadi katanya, bantuan daripada pihak kerajaan dan pihak lain sangat membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Memang kami susah untuk dapat penumpang sehingga ada antara kami hanya memperoleh RM30 untuk satu perjalanan, selepas tiga ke tujuh hari menunggu.

“Apabila dapat bantuan sebegini, kami memang bersyukur kerana ia dapat membantu menampung perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui di LTSM di sini, hari ini.

AHMAD Said (tengah) menyampaikan bantuan kepada pemandu kereta sewa Airport Secara Pandu Lalu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Said (tengah) menyampaikan bantuan kepada pemandu kereta sewa Airport Secara Pandu Lalu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO Ghazali Kori

Terdahulu, beliau antara 45 pemandu teksi yang menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 dan bakul makanan oleh Umno Terengganu yang disampaikan Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Dalam pada itu Ahmad berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengagihkan sumbangan kepada kumpulan pemandu teksi itu yang terjejas selepas pendapatan merosot sehingga 90 peratus.

Sebelum krisis kesihatan, pemandu teksi LTSM mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Pendapatan mereka ini bergantung kepada pelancong dan hasil harian, jadi kita harap sumbangan pada hari ini dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya.

Menurut Ahmad, pihaknya turut menyalur bantuan sama kepada pengayuh beca, pemandu teksi dan pengusaha bot penambang.

Sumber: My Metro