Pemandu Treler Tak Mengaku Salah Sebabkan Kematian Dua Beradik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Trafik, hari ini atas pertuduhan memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kematian dua beradik di Jalan Kuantan-Segamat, di sini pada 13 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran persimpangan lampu isyarat FELDA Lepar Hilir, di sini pada jam 11 malam, 13 Jun lalu.

Tertuduh didakwa memandu treler tanpa kecermatan dan menyebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18 dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Selain itu, lesen memandu diendors oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan. Jika sabitan kedua dan seterusnya, hilang kelayakan selama 10 tahun.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh.

Namun, tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan kerana pendapatannya hanya RM3,000 sebulan dan menanggung isteri serta tiga anak dan ibunya.

Majistret kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan turut menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai depan.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat FELDA Lepar Hilir.

Dua mangsa terbabit, Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18 meninggal dunia di tempat kejadian.

– BERITA HARIAN