KUANTAN: Seorang pembantu guru prasekolah di Bentong kerugian RM30,483 selepas terperdaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa berumur 29 tahun menerima mesej Whatsapp yang kononnya suspek melihat permohonan di laman Job Street.
Katanya, suspek kemudiannya menawarkan kerja membuat ulasan di laman Google Review untuk tempat, restoran dan lain-lain dengan menawarkan komisen bagi setiap ulasan.
“Mangsa mula percaya dan membuat empat transaksi ke empat akaun bank yang berlainan dengan menggunakan wang simpanan sendiri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes terbabit, beliau menasihati dan menegaskan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN