KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka empat kertas siasatan ke atas pemborong ayam, atas kesalahan gagal menurunkan harga.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Kia, berkata harga maksimum ayam yang diperiksa ialah RM10.50 sen sekilogram, manakala harga minimum ditetapkan RM8.80 sen sekilogram.
Katanya, empat kertas siasatan itu dibuka ke atas pemborong ayam atas kegagalan menurunkan harga pada paras ditetapkan.
“KPDNHEP juga mengeluarkan sebanyak 47 notis Pengesahan Maklumat Barangan kepada peniaga ayam di seluruh negeri,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.
Saharuddin berkata, sebanyak 41 peniaga peringkat borong dan runcit diberikan surat pemberitahuan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Katanya, pemborong dan peniaga berkenaan diminta untuk menurunkan harga jualan ayam seperti ditetapkan.
Ketika mengulas mengenai kenaikan harga sayur, Saharuddin berkata, kenaikan harga sayur-sayuran bersifat sementara dan dijangka turun semula selepas cuaca bertambah baik.
Katanya, kenaikan harga sayur disebabkan cuaca yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan dan kerosakan hasil pertanian serta faktor tambahan kos baja.
“Hasil pemantauan kami, bukan semua pasar awam dan pasar raya menaikkan harga sayur. Masih terdapat peniaga menjualnya dengan harga murah,” katanya.
Beliau berkata, pengguna disarankan untuk berbelanja secara bijak dengan memilih premis yang menawarkan barang pada harga berpatutan.
Sumber: Berita Harian