Dungun: Aktiviti pelupusan sampah dan sisa industri yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca kebakaran hutan paya gambut di Kampung Balai Besar, dekat sini, sejak kelmarin.
Keadaan kebakaran itu ketika ini memusnahkan hampir 20 hektar kawasan sekitar yang menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan penduduk sekitar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Dua, Mohammad Basri Kamarazaman berkata, aktiviti haram itu dikesan selepas pihaknya melakukan rondaan di sekitar lokasi kebakaran dan mendapati ada beberapa kesan pembakaran secara tidak terkawal .
Menurutnya, aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan itu sebagai mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Pihak kami dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Jas, kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang terbabit.
“Seramai 30 anggota Bomba dari lapan balai Bomba daerah Dungun dan Kemaman dikerahkan untuk operasi pemadaman di situ,” katanya.
Menurutnya, selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Daerah Dungun, Angkatan Pertahanan Awam APM dan Jas bagi melaksanakan kerja pemadaman.
“Keadaan angin kencang menyebabkan kawasan hutan itu merebak dengan cepat dan kita turut menghadapi kesukaran berikutan sumber air yang terhad dan ketiadaan akses laluan untuk memasuki kawasan kebakaran.
“Kita kini terpaksa melakukan kerja membuat laluan baru dan mendalamkan tali air bagi memastikan sumber air mencukupi untuk operasi pemadaman,” katanya.
Mohammad Basri berkata, pihaknya turut mengesan beberapa tompokan kebakaran baru disebabkan oleh bara api yang diterbangkan oleh angin.
“Kita terpaksa memantau keadaan itu kerana kita bimbang bara api terbabit boleh merebak kawasan penempatan penduduk.
“Kita menjangkakan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa tiga hari lagi dan akan sentiasa memantau keadaan itu dari masa ke semasa bagi mengelak kebakaran menjadi lebih besar,” katanya.
Sumber: My Metro