Pemergian Kok Chi Satu Kehilangan Besar – PM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sebagai satu kehilangan besar kepada badan induk itu dan dunia sukan tanah air.

Mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Kok Chi, Perdana Menteri berkata kerajaan amat menghargai segala khidmat bakti, jasa dan sumbangan dicurahkan mendiang dalam kemajuan dan pembangunan sukan negara sebelum ini.

“Takziah saya ucapkan kepada ahli keluarga mendiang kerana pemergian orang yang tersayang dan semoga diberikan ketabahan ketika berdepan saat-saat sukar ini.

“Semoga semangat dan usaha mendiang terus menjadi inspirasi kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Kok Chi, 83, dilapor meninggal dunia, Sabtu lalu.

Penerima Anugerah Tokoh Sukan 2019/2020 itu menawarkan perkhidmatan secara sukarela kepada MOM sejak 1974 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas badan induk itu sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kehormat pada 1992.

Mendiang juga menumpukan kerjayanya kepada MOM tanpa apa-apa imbuhan sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat dari 1992 hingga 2013 dan Setiausaha Agung (2013-2015) serta Penolong Setiausaha Agung (2015-2018) badan induk sukan itu.

Sumber: BERNAMA