Pemilik Chelsea Masih Yakin Kemampuan Potter

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Pemilik Chelsea masih yakin terhadap ketua jurulatih, Graham Potter sebagai individu tepat bagi mengetuai projek jangka panjang mereka dan bersedia memberikan sokongan dengan mendapatkan Joao Felix menerusi pinjaman dari Atletico Madrid.

Sportsmail difahamkan wujud kebimbangan oleh sebahagian pemain yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan pengurus itu tetapi Potter terus disokong pengurusan tertinggi kelab di sebalik prestasi merudum Chelsea.

Konsortium Todd Boehly/Clearlake Capital membeli Chelsea daripada pemilik sebelumnya, Roman Abramovich dan cuba menukar keseluruhan kelab.

Potter dipilih menggantikan Thomas Tuchel kerana memikirkan bekas bos Brighton itu adalah yang terbaik bagi perancangan jangka pendek dan panjang pasukan.

Bagaimanapun skuad Blues akan berdepan jiran di London, Fulham awal pagi Jumaat ini dengan keputusan negatif berdepan skuad kendalian Marco Silva tidak akan membahayakan Potter.

Difahamkan pemilik mahu melihat peningkatan dalam pertembungan di Craven Cottage itu.

Potter sentiasa berhubung dengan Boehly dan pemilik bersama, Behdad Eghbali faham bahawa projek Chelsea di bawah pengurusan baharu ini perlukan masa lebih lama dan menerima bahawa membangunkan semula kelab tidak boleh berlaku sekelip mata.

Potter diberikan kontrak lima tahun selepas dilantik pada September.

Chelsea tewas enam daripada sembilan perlawanan membabitkan semua kejohanan dan berkedukan ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta tersingkir daripada dua kejohanan domestik selepas kekalahan di tangan Manchester City.

Sumber : BERITA HARIAN