Pemilik kilang tamak petualang meningkatkan kes Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Klang: Pengusaha kilang yang tamak dan terus beroperasi tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan disifatkan sebagai petualang yang meningkatkan kes Covid-19 di seluruh negara.

Datuk Mastor Mohd Arif

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Datuk Mastor Mohd Arif berkata, beliau yang mengetuai serbuan Op Patuh di sekitar Meru, petang tadi mendapati rata-rata kilang masih gagal SOP ditetapkan.

“Hari ini, kita dapati masih ada kilang yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan yang mana lebih 60 peratus pekerja datang bekerja dan kilang ini dikompaun berjumlah RM25,000.

“Masih ada lagi kesalahan lain yang tidak sepatutnya berlaku. Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini, sepatutnya kesalahan dinyatakan terutamanya kilang yang diarahkan tutup tidak sewajarnya dibuka.

“Pemilik kilang yang tamak dan masih membuka kilang walaupun diarahkan tutup adalah petualang yang meningkatkan kes Covid-19 di seluruh negara,” katanya selepas operasi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Hamzah Ahmad dan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Puan Nurulhuda Mohd Salleh.

Mastor berkata, beliau juga mendapati masih ada kilang yang menyalahgunakan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) demi keuntungan sahaja.

“Ada antara mereka yang menipu, mendapatkan kebenaran daripada MITI tetapi tidak mengeluarkan barangan sepatutnya.

“Ini satu penipuan terhadap kelulusan MITI yang mana pemilik kilang ini pentingkan keuntungan syarikat sahaja tapi memikirkan kes Covid-19 yang meningkat selama ini.

“Jadi, saya berharap kilang di sekitar Selangor ini dapat mematuhi SOP kerana kita dapati kes Covid-19 melonjak begitu tinggi dan hari ini di Selangor sahaja lebih 5,000 kes positif dan menjadikan jumlahnya 11,000 seluruh Malaysia,” katanya.

Sumber: My Metro