Pemilik premis diminta akur arahan kibar Jalur Gemilang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pemilik premis perniagaan di negeri ini diminta akur dengan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengibar Jalur Gemilang dan bendera Pahang di premis masing-masing sempena Bulan Kemerdekaan dan memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, hasil pemantauan dilakukan pihak PBT mendapati tahap pematuhan kepada arahan itu masih rendah apabila banyak pemilik premis belum berbuat demikian.

Menurutnya, kebanyakkan pemilik yang premis perniagaan mereka ditutup dan tidak beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini masih belum memasang bendera sebagaimana yang diarahkan.

“Kita minta mereka segera memasangnya atau sebelum 16 Ogos ini untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan sumbangan BPP Covid-19 kepada 20 penerima dalam kalangan pelajar pendidikan khas di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar di sini pada Sabtu.

Abd Rahim berkata, tiada alasan untuk pemilik tidak memasang bendera di premis mereka kerana arahan telah pun dikeluarkan PBT di daerah masing-masing.

Mengulas sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat negeri, Abd Rahim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan sama ada program itu akan diadakan atau sebaliknya ekoran situasi pendemik Covid-19 yang membimbangkan ketika ini.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tetap mengalakkan orang ramai agar menghiasi kawasan kampung dan taman perumahan dengan kibaran bendera sepanjang Bulan Kemerdekaan ini.

Disyorkan artikel ini:
26 premis di Klang diarah tutup, gagal patuh SOP
Tiga ditahan cuba pecah masuk kilang, cederakan pemilik premis
Sajat nafi menyorok daripada JAIS, pihak berkuasa
“Ia sebagai satu usaha menunjukkan semangat cintakan negara bagaimanapun aktiviti pemasangan bendera perlu mematuhi SOP ditetapkan selain elak melakukan aktiviti berkumpulan atau keluar beramai-ramai,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mana-mana pihak yang bercadang untuk mengadakan program meraikan Bulan Kemerdekaan perlu memaklumkan perkara itu dan mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu program yang diadakan itu nanti akan membawa kepada penularan wabak Covid-19 kepada orang ramai,” katanya.

Sumber: Sinar Harian