Pemilik premis, penyewa boleh dikenakan tindakan undang-undang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir

Nilai: Pemilik premis atau penyewa boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersubahat membenarkan premis mereka digunakan untuk menyimpan rokok tidak sah.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat serbuan ke premis terbabit jika mendapat maklumat mengenai kegiatan haram berkenaan.

Katanya, pemilik premis boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 memperuntukkan kesalahan secara disedari memiliki atau membenarkan atau menyimpan mana-mana barang belum lulus kastam atau barang larangan.

“Untuk kegiatan seperti ini, kami boleh mengambil tindakan. Yang pertama adalah kastam akan membuat serbuan jika didapati menyimpan rokok yang tidak sah.

“Kemudian tindakan boleh di ambil ke atas individu yang memiliki pada masa itu sama ada penyewa, pemilik atau pekedai yang berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan, di sini.

Harian Metro pada 3 Ogos melaporkan kartel penyeludupan rokok mengubah modus operandi mereka dengan menyewa gudang, rumah kedai atau rumah sewa untuk menyimpan rokok.

Ini ekoran sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara yang dijalankan dengan efisyen susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sekatan ini menyebabkan bekalan rokok seludup gagal diedarkan kepada konco-konco kartel terdiri dalam kalangan peniaga warga asing.

Rampasan besar sejak Januari bernilai RM167.98 juta dengan kebanyakan serbuan yang dijalankan di kilang menguatkan andaian pemilik gudang sanggup menyewa seluruh atau sebahagian ruang dalam gudang mereka untuk kegiatan haram berkenaan asalkan mereka mendapat pulangan bagi meneruskan perniagaan.

Sumber: My Metro