Lumrah kehidupan pasti ada orang yang menjadi majikan dan ada pula yang menjadi pekerja bawahan. Ada pula yang menjadi ketua dan ramai pula yang menjadi orang biasa.
Begitu juga ketika di rumah, ada bapa yang mengetuai sebuah keluarga yang terdiri daripada isteri, anak dan zuriat seterusnya ke bawah. Pendek kata, ada yang berada di atas dan ada pula yang berada di peringkat bawahan.
Seorang ketua memikul tanggungjawab yang besar ke atas tiap-tiap individu di bawah kepimpinannya.
Setiap keputusan yang dibuat perlulah adil kepada semua pihak dan jauh sekali menzalimi orang lain.
Di akhirat kelak, setiap yang bergelar pemimpin sama ada di rumah, tempat kerja, kampung, bandar, peringkat nasional mahupun global, semuanya tidak terlepas daripada persoalan dan penilaian berkenaan kepimpinannya.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:
“Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban ke atas kepemimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggungjawab ke atas mereka.
Seorang isteri adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan bertanggungjawab ke atasnya. Seorang hamba adalah penjaga bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab ke atasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Pemimpin yang baik pasti mahukan kepemimpinannya berjalan sempurna. Justeru, banyak perancangan yang perlu dibuat bagi memastikan amanah yang dipikulnya berjalan dengan lancar.
Walaupun begitu, pemimpin tetap perlu mendengar pandangan orang lain dalam membuat perancangan. Ini kerana, antara sifat pemimpin yang baik ialah tidak menggunakan kekuasaan yang dimiliknya sahaja untuk membuat keputusan.
Semangat berbincang antara pemimpin dan ahli bawahan perlu disemarakkan bagi memastikan pemimpin benar-benar memahami kehendak dan aspirasi orang ramai di bawah kepimpinannya.
Hal ini termasuklah kepimpinan dalam rumah tangga. Suami tidak boleh menafikan pandangan isteri dan anak-anak dalam membuat keputsan untuk keluarganya.
Walaupun keputusan akhir terletak dalam kuasanya, pemimpin keluarga yang baik pasti mendengar luahan dan saranan setiap ahli keluarga agar keputusan yang dibuat mengambil kira kehendak setiap ahli keluarganya.
Begitu juga dalam sesebuah organisasi sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Setiap pemimpin mesti mendengar pandangan orang di bawahnya dan tidak sesekali bergantung hanya kepada orang kanan di sekelilingnya sahaja.
Tidak rugi mendengar pandangan orang lain kerana pastinya ada kebaikan yang terhasil daripada buah fikiran orang ramai.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّٰهِ لِنْتَ لَهُمْ ۚ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيْظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوْا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى الْاَمْرِۚ فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِيْنَ
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu.
Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan mohonkanlah kemaafan bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159)
Berdasarkan firman Allah SWT, dapat difahami tentang kepentingan syura dalam mengambil sebarang keputusan penting. Ini termasuklah hal berkaitan peperangan dan seumpamanya.
Allah SWT mengajar Rasulullah SAW agar mendapatkan pandangan sahabat baginda dalam urusan penting yang menjadi antara sebab sahabat sentiasa mendampingi baginda SAW.
Orang yang tidak mahu mendengar pandangan orang lain terutama daripada kalangan orang bawahan merupakan pemimpin yang sombong. Apatah lagi sekiranya orang bawahan berasa takut untuk menyatakan sesuatu pandangan lantas terpaksa membiarkan diri mereka dizalimi atas keputusan yang tidak menyebelahi mereka.
Tidak ada cara lain untuk mendampingi orang di bawah kepemimpinan melainkan membuka pintu yang luas untuk mereka memberi pandangan dan saranan.
Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan contoh kepemimpinan terbaik. Baginda SAW adalah insan agung yang menerima wahyu petunjuk daripada Allah SWT.
Namun baginda tetap membuka ruang kepada sahabat untuk menyuarakan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan. Malah pandangan sahabat banyak yang diterima oleh Rasulullah SAW.
Antaranya apabila baginda SAW menerima pandangan Abu Bakar As-Siddiq berkenaan tawanan perang Badar yang dibebaskan selepas mereka membayar tebusan perang.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menerima pandangan sahabat baginda bernama Salman Al-Farisi untuk membuat parit bagi menghalang serangan musuh dalam perang Khandak.
Inilah bentuk akhlak Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin yang mendengar dan menerima pandangan orang lain dalam membuat sesuatu keputusan penting berkenaan survival Islam.
Rasulullah SAW juga tidak pernah membeza-bezakan kedudukan sahabat tatkala berbincang dengan mereka untuk mendapat keputusan. Baginda SAW meraikan pandangan sahabat selagi pandangan itu tidak merugikan umat Islam dan tidak bertentangan dengan wahyu Allah SWT.
Oleh itu, amat wajar untuk setiap pemimpin di segenap lapisan menyemarakkan budaya bertukar-tukar pandangan sesama individu dalam organisasi yang ditadbir agar dapat menemui keputusan yang terbaik.
Mendengar pandangan orang lain lebih-lebih lagi orang bawahan tidak sesekali menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin malah sebenarnya ia menampakkan sifat keterbukaannya dalam meraikan pandangan orang lain.
Dalam keadaan beberapa tempat di negara sedang dilanda ujian banjir, pemimpin di segenap lapisan perlu mendengar segala rintihan mangsa banjir. Bantulah mereka bagi meringankan beban yang ditanggung kerana itulah tanggungjawab insan bernama pemimpin.
Usah leka dengan perbuatan yang kononnya menampakkan kecaknaan sedangkan kedengaran suara rakyat masih memerlukan bantuan dan sokongan.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang menyanggah perbuatan pemimpin yang menipu rakyatnya:
“Tiada dalam kalangan hamba (manusia) yang diberikan kepemimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyat di bawah kepemimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sebenarnya inilah masa bagi pemimpin membuat koreksi diri dengan segera mengambil kira pandangan orang di sekelilingnya.
Bukankah pemimpin itu diangkat kerana adanya orang bawahan dalam organisasi?
Jika tiada orang bawahan, maka tiadalah pemimpin yang berada di atas. Ingatlah bahawa kedudukan di dunia tidak kekal selama-lamanya.
Jadilah pemimpin yang cepat mendengar rintihan rakyat kerana pemimpin sepatutnya adalah ‘telinga lintah’, bukannya ‘telinga nipis’.
Sumber : Harian Metro