Pemohon PJJ perlu jujur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bentong: Pasangan jarak jauh (PJJ) yang memohon kebenaran merentas negeri atau daerah perlu bersikap jujur dan telus bagi mengelak mereka mengambil kesempatan pulang ke kampung.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tindakan itu berjaya dikesan apabila terdapat pasangan menaiki kenderaan berasingan, tetapi menuju ke destinasi sama ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

“Polis mahu mengesahkan pasangan itu betul-betul berada di tempat yang dituju. Sebab ada juga yang kita dapati kedua-dua memohon untuk bergerak ke satu destinasi yang sama.

“Ini bermakna (mereka) nak balik kampunglah, istilahnya bukan pergi melawat pasangan, jadi kita mohon kerjasama.

“Saya rasa semua orang kena faham dan perlu beri kerjasama. Mana yang perlu bergerak… bergeraklah, mana yang tidak perlu pada saya tidak perlulah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi Pemantauan dan Pematuhan Pelaksanaan SOP PKP 3.0 di premis-premis sekitar Bentong, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan meminta PJJ mengemukakan dokumen seperti alamat pasangan dan sijil perkahwinan sebelum memberi kelulusan.

“Bukan hendak menyusahkan, tetapi kita hendak pastikan permohonan itu betul dan pasangannya betul-betul berada di tempat dituju,” katanya.

Sumber: My Metro