Pemuda jual 12 tan durian setiap hari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Meskipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hasil jualan raja buah iaitu durian yang diusahakan Shahmiazani Mohd Tanazi tetap mendapat sambutan menggalakkan.

Buktinya, setiap hari, lelaki berusia 28 tahun itu mampu menjual sebanyak 12 tan membabitkan pelbagai jenis durian termasuk musang king, ganja, kucing mabuk, kucing tidur, ioi, durian kahwin, kepala gajah serta kampung dalam tempoh lima jam sahaja di Kampung Semat Jal, di sini.

Pelbagai jenis buah itu dijual dengan harga berbeza bermula RM10 hingga RM35 kilogram (kg) bergantung kepada kualiti raja buah itu.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula, pemuda terbabit menjual durian serendah RM3 setiap kg selain menawarkan satu plastik berisi tujuh biji pada harga RM10.

Bagaimanapun, promosi itu hanya ditawarkan dalam tempoh lima hari bermula kelmarin dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Shahmiazani berkata, dia mula menjual buah durian sejak Januari lagi, namun bekalan itu hanya dijual secara banyak mulai Jun ini.

Katanya, bekalan durian diambil dari empat lokasi di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Johor dengan pengambilan setiap hari bagi memastikan buah yang dijual adalah segar dan sedap.

“Alhamdulillah jualan durian tetap menggalakkan walaupun PKP dan ramai yang tidak dapat datang membeli kerana tidak boleh merentas daerah.

“Untuk jualan durian, saya menjual dengan tiga cara iaitu borong, runcit dan lelong. Seawal jam 9 pagi saya sudah mula membuka kedai dan kebiasaannya pada 2 petang, durian susah habis.

“Jika tahun sebelum pandemik Covid-19, jualan durian lebih laris hanya mengambil masa beberapa jam sahaja, namun saya masih bersyukur kerana bekalan buah tetap habis setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, hari ini.

Shahmiazani berkata, setiap hari dia dibantu isteri Shaidatul Fatini Shamsuddin, 29, selain lapan pekerja.

“Memandangkan musim PKP, saya hanya mengehadkan 10 pembeli yang memasuki kedai dalam satu masa bagi mengelak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Alhamdulillah mereka yang datang memberi kerjasama penuh dan sanggup menunggu dengan sabar,” katanya yang menjual musang king dengan harga RM35 sekilogram.

Mengulas mengenai promosi satu plastik durian RM10, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, hampir setiap tahun dia menjual dengan harga berkenaan supaya semua orang mampu menikmati raja buah itu.

“Namun, jualan itu hanya terhad untuk lima hari sahaja bermula semalam dan ia membabitkan durian kampung.

“Bila orang bercakap harga durian adalah harga kayangan dan untuk golongan kayangan, saya mengambil pendekatan menjual dengan harga murah supaya semua orang mampu menikmatinya,” katanya.

Sumber: My Metro