Penampang dilanda banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Penampang: Sekurang-kurang 12 kampung dan taman perumahan, di sini, dilanda banjir susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Selain itu, sepuluh jalan di sekitar daerah ini juga dilaporkan ditenggelami air sehingga menyukarkan untuk dilalui kenderaan.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Penampang berkata, bacaan air Sungai Moyog pula melebihi paras bahaya apabila mencatatkan ketinggian 9.40 meter.

Katanya, semua agensi terbabit sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk melakukan pemantauan serta operasi banjir dari semasa ke semasa.

“Antara kawasan yang dinaiki air adalah Taman Donggongon, Kampung (Kg) Tuavon, Kg Kambau, Kg Dabak, Kg Nambazan, Kg Kolopis, Kg Inobong, Kg Kibabaig dan Kg Gunsing serta Penampang Proper.

“Manakala jalan yang dinaiki air pula adalah membabitkan Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Dakata, Jalan Kasigui, Jalan Tuavon, Jalan Kolopis dan Jalan Inobong,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, turut ditenggelami air adalah Jalan Edmund Labunda, Jalan Nambazan, Jalan Kibabaig serta Bulatan Siga berhampiran Pekan Donggongon.

“Pusat Pemindahan Sementera sudah dibuka di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang sebagai persediaan sebarang keperluan memindahkan penduduk terjejas. Ketika ini, Sekolah Menengah St Michael Penampang turut dilanda banjir.

“Pemantauan terpaksa dilakukan dari semasa ke semasa disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Sumber: My Metro