Kota Bharu: Seramai 200 penanam sayur di Lojing dekat Gua Musang mendakwa menanggung kerugian harian antara RM300,000 hingga RM400,000 akibat isu lambakan sayur-sayuran disebabkan kekangan pergerakan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL), Yusup Abd Rahaman berkata, sebanyak 200 tan sayur-sayuran yang tidak dapat dijual dan rosak terpaksa dilupuskan setiap hari.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, pihaknya memohon Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands di Lojing bagi mengumpul dan pemprosesan sayur-sayuran.
“Ia bagi mengelakkan berlaku lambakan dan pelupusan sayur-sayuran di lokasi itu yang dianggarkan sebanyak 200 tan sehari. Akibat itu, pengusaha mengalami kerugian antara RM300,000 hingga RM400,000 sehari.
“Kerugian ini berlaku kerana lambakan sayur-sayuran yang tidak terjual ekoran kekangan pergerakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Malah, harga sayur-sayuran juga jatuh kerana tidak dapat dibawa keluar.
Sumber: My Metro