Penang Pecat Pengarah Teknikal, Pengurus Pasukan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Prestasi hambar diperagakan Penang FC dengan lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Super menyaksikan pengarah teknikal, Kamal Kalid dan pengurus, Ong Eng Hua dipecat serta-merta oleh pengurusan pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi dalam satu kenyataan menerusi Penang Football Club menjelaskan kedua-dua individu itu tidak lagi akan terbabit dalam urusan kelab dan pasukan selepas ini.

“Pengurusan tertinggi Penang FC mengambil maklum dan berasa amat dukacita dengan prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2023 termasuk kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia 2023 baru-baru ini.

“Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini.

“Sejurus itu, pengurusan Penang FC memutuskan untuk menamatkan khidmat Pengarah Teknikal Kelab, Kamal Kalid dan pengurus pasukan Liga Super, Ong Eng Hua dengan serta-merta.

“Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang diberikan sepanjang mereka bersama kelab dan pasukan,” katanya.

Susulan itu, Daniel memaklumkan ketua jurulatih Liga Super yang baharu akan memainkan peranan sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan untuk masa yang akan datang.

“Ini akan memberikan tanggungjawab penuh kepada ketua jurulatih yang juga merangkap pengurus pasukan untuk mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC.

“Langkah pembaharuan menyeluruh ini adalah untuk membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan, bagi memenuhi harapan dan aspirasi penyokong dan peminat pasukan Penang FC,” katanya.

Semalam, Penang tewas 0-3 kepada PDRM FC pada aksi Liga Super sekali gus kekalahan ketujuh berturut-turut termasuk dua perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia berdepan KL City FC.

– BERITA HARIAN