PUTRAJAYA – Debaran Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 tiba di penghujungnya apabila Drama Berjudul, Pencipta Pegang Waktu, oleh Nor Shahila Harun Shah terbitan TV3 memenangi Drama TV Terbaik dengan membawa pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai serta Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.00.
Manakala, Dokumentari berjudul Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie terbitan Astro pula memenangi Anugerah Dokumenteri TV Terbaik turut merangkul pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai serta DKD bernilai RM150,000.00.
Kemenangan ini diraikan secara langsung dalam suasana penuh gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Para pemenang semua kategori Anugerah Seri Angkasa 2022 bukan sahaja menerima trofi kemenangan masing-masing bahkan turut menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM5,000.
Anugerah Seri Angkasa 2022 turut menyaksikan Puan Hajjah Fauziah Nawi dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa yang menerima trofi serta hadiah berupa wang tunai bernilai RM10,000.00 dan sebuah Kereta Expander. Tuan Haji Ahmad Noor Sulaiman, Penerbit Program Halaqah (Episod 7): Bencana, Muhasabahkah Kita? Terbitan TV3 pula telah dipilih untuk menerima Anugerah Khas Juri yang turut menerima trofi serta hadiah berupa wang tunai bernilai RM8,000.00.
Anugerah Seri Angkasa 2022 dengan tema ‘Kemuncak Kecemerlangan” yang pertama kali dianjurkan pada tahun 1972 dan terakhir diadakan pada tahun 2016 kini kembali mewarnai persada industri penyiaran dan kreatif negara dengan menerima pencalonan keseluruhan sebanyak 1,586.
Dari jumlah tersebut sebanyak 1,354 pencalonan telah menepati syarat-syarat yang ditetapkan iaitu 1,035 bagi Kategori Televisyen, 276 bagi Kategori Radio dan 43 bagi Kategori Media Baharu yang buat julung kalinya diperkenalkan pada kali ini.
Peningkatan ketara ini menunjukkan bahawa pencapaian standard penyiaran oleh para karyawan, kru penerbitan dan lain- lain dalam penghasilan karya masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr, Annuar Haji Musa yang telah mencetuskan idea bagi penjenamaan semula Anugerah Seri Angkasa berkata, penganjuran majlis ASA 2022 turut memperkenalkan Dana Kandungan Digital (DKD) sebagai hadiah rebutan yang amat berprestij selaras dengan langkah-langkah di bawah Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan bagi membantu serta menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa terutama dalam fasa pasca COVID-19.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM