Pendaftaran vaksin rendah di Kelantan tidak tertakluk MySejahtera semata

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Pendaftaran penduduk Kelantan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi MySejahtera diakui rendah, namun kadar pendaftar sebenar tidak hanya bergantung kepada aplikasi itu.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya menggerakkan pelbagai program yang mendekati rakyat untuk tujuan pendaftaran bagi menerima vaksin.

Berikutan itu katanya, tiada perkara berbangkit berkenaan pendaftaran PICK.

“Pendaftaran kita memang rendah iaitu 65 peratus, namun kita sendiri tidak bergantung kepada MySejahtera kerana kita lebih mengutamakan program ‘outreach’ di semua kawasan.

“Setakat ini penduduk di Kelantan yang menerima dos pertama vaksin adalah sebanyak 37 peratus, manakala bagi dos kedua adalah 20 peratus.

“Kita masih mempunyai masa sebulan lagi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 40 peratus penduduk Kelantan menerima vaksin sebelum 31 Ogos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatannya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam Panji di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Kelantan antara empat negeri masih merekodkan pendaftaran bagi PICK terendah dengan 64.5 peratus atau 796,795 individu. Tiga negeri lain adalah Terengganu, Pahang dan Sabah.

Dalam pada itu, Dr Izani berkata, kerajaan negeri berharap menerima maklum balas daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berhubung penambahan bekalan vaksin Covid-19 buat negeri itu.

“Kita memohon untuk mendapatkan satu juta vaksin sebulan dalam usaha untuk mempercepatkan proses vaksin di Kelantan.

“Setakat ini kita memperoleh 550,000 vaksin sebulan dan kita berjaya menggunakannya hampir 100 peratus bekalan yang diterima.

“Sekiranya kita memperoleh bekalan sebagaimana yang dimohon, kita akan mengaktifkan semua Pusat Pemberian Vaksin dan Program Outreach Vaksinasi di negeri ini. Dari segi infrastruktur, memang kita sudah bersedia dan hanya menunggu bekalan vaksin sahaja,” katanya.

Sumber: My Metro