Pendapatan Epic meningkat sehingga RM339.6 juta tahun lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatatkan perolehan sebanyak RM339.6 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali, berkata jumlah itu meningkat 16 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pendapatan utama disumbangkan melalui operasi pelabuhan dengan jumlah sebanyak RM283.3 juta atau 70 diikuti dengan perkhidmatan kejuruteraan dengan pendapatan sebanyak peratus RM90.3 juta atau 27 peratus dan RM11 juta atau tiga peratus daripada tenaga solar.

“Bagi jumlah perolehan dijana segmen keseluruhan operasi pelabuhan, RM179 juta atau 53 peratus adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan dan RM59.3 juta atau 17 peratus adalah daripada operasi pelabuhan.

“Justeru, meskipun ekonomi 2023 dilihat lebih mencabar, kami berusaha memastikan jumlah perolehan akan terus meningkat tahun ini,” katanya dalam program ‘EPIC Media Appreciation Hi-Tea 2022’ di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun lalu turut meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM26.2 juta daripada RM22.6 juta yang dicatatkan pada 2021.

“Dengan rekod perolehan yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai dianggarkan meningkat sebanyak 43 peratus daripada RM6.1 juta tahun lalu kepada RM8.7 juta tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata EPIC membelanjakan hampir RM2.5 juta tahun lalu untuk pelbagai inisiatif program, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), sumbangan serta tajaan pembangunan masyarakat dan negeri Terengganu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, EPIC berjaya membantu 25 organisasi pendidikan, 92 persatuan serta organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang mana impaknya dapat dirasai ribuan individu bukan saja di dalam, malah luar Terengganu.

“Bagi tahun ini, EPIC berhasrat untuk terus memberikan sokongan padu kepada masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan serta memacu pembangunan negeri Terengganu,” katanya.

Tambahan lagi, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan adalah yang terbaik dan efisien, EPIC telah menubuhkan Kuala Terengganu Support Base (KTSB) bagi menjadikannya tempat menaiki kapal atau berlepas dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industri minyak dan gas serta industri pelancongan.

EPIC melalui anak syarikatnya EPIC Solar Sdn Bhd turut menjalankan perkhidmatan pembangunan stesen janakuasa Solar Berskala Besar Fotovoltaik dengan keluasan 70 ekar.

Tenaga solar ini mampu membekalkan 18.5MW arus ulang alik dengan 23MW elektrik terus kepada Tenaga Nasional berhad (TNB) melalui grid nasional. Usaha ini sekaligus turut  menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai 40 pertaus tenaga boleh diperbaharui.